Usaha-usaha Untuk Menyekat Pencemaran Alam Sekitar
Masalah pencemaran alam perlu diselesaikan supaya pencemaran tidak berterusan dan menjejaskan alam. Antara jalannya termasuklah menggunakan bahan yang tidak reput semula. Bahan-bahan seperti botol kaca sebaik-baiknya dikumpulkan dan digunakan semula. Selain itu, penggunaan bahan-bahan yang tidak reput seperti plastic mesti dihadkan. Malah, bahan-bahan seperti tin aluminium dan kertas boleh dikitar semula. Cara ini sememangnya dapat mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar kerana bahan buangan dapat dikurangkan.
Dalam pada itu, penyelidikan tentang teknik pelupusan sampah perlu dijalankan untuk mengurangkan kuantiti bahan buangan. Bahan buangan yang berbahaya memerlukan kaedah pelupusan yang betul agar tidak mencemarkan persekitaran. Selain itu, kawasan khas pembuangan sisa perlulah disediakan. Kawasan tersebut perlulah jauh daripada kawasan kediaman dan sumber air serta diisytiharkan sebagai kawasan larangan.
Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang berat wajar dijatuhkan atas pihak yang mencemarkan alam sekitar. Oleh itu, pihak berwajib perlu menambahkan bilangan kakitangan bagi memudahkan mereka memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab. Di samping itu, setiap individu perlu sedar bahawa mereka berperanan penting dalam penjagaan alam sekitar.
Masyarakat perlulah berganding bahu bagi memastikan alam sekitar ini selamat untuk didiami bukan sahaja untuk generasi kini, tetapi untuk generasi akan datang juga.
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada "Keberkesanan Menangani Pencemaran Alam Sekitar”. Era Hijau, Februari 2009.)
BRAVO! PMR Tingkatan 1 Bahasa Malaysia, m/s 69.